Kajian Taraf (Pola) Pemakanan Di Kalangan Murid Melayu Tahun Enam
Sekolah Rendah Di Kawasan Keramat, Kuala Lumpur.

        Khalizul Bin Khalid,
        Norlela Binti Mohd. Hussin,
        Norzaini Binti Muhammad Zain,
        Laila Rabaah Binti Ahmad Suhaimi,
        Rahmatullah Bin Mamat,
        Wan Salahudin Bin Wan Abdullah,
        Mohd. Rozaiham Bin Rahman
        Jalaludin Bin Ibrahim.

        ABSTRAK

            Tujuan kajian ini adalah bagi melihat hubungkait antara taraf pemakanan murid-murid Melayu tahun enam sekolah  rendah di kawasan Keramat, Kuala Lumpur dengan taraf ekonomi ibubapa, taraf pendidikan ibubapa dan  juga amalan pemakanan murid. Bagi tujuan ini, ukuran antropometri (BMI-bagi-umur) dan soal selidik ke atas 497 orang murid dari tujuh buah sekolah rendah di kawasan Keramat  telah dikaji dan diuji. Faktor yang dikenalpasti mempengaruhi taraf pemakanan murid-murid  ialah faktor ekonomi ibubapa dan amalan pemakanan murid-murid itu sendiri. Kajian tidak dapat menunjukkan bukti yang jelas bahawa taraf pendidikan formal ibubapa ada mempengaruhi taraf pemakanan murid-murid tahun enam yang dikaji. Purata BMI murid ialah 15.86 ?  0.18 kgm-2 dengan sisihan piawai 3.93kgm-2. Kajian menunjukkan bahawa 78 murid (15.69%) mengalami kekurangan berat badan (kurang pemakanan), 344 orang (69.22%) normal dan 75 murid (15.09%) mengalami berlebihan berat badan (lebih pemakanan). Kadar kekurangan dan berlebihan berat badan yang direkodkan adalah melebihi peratusan yang dilaporkan di peringkat kebangsaan pada tahun 1998. Pihak yang bertanggungjawab perlu memberikan perhatian yang serius terhadap keadaan ini, sebelum ianya menjadi lebih kronik dan seterusnya boleh menjejaskan kesihatan  murid-murid di kawasan ini. Kajian yang lebih teliti perlu dilakukan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas untuk mengatasi masalah ini.

Pengenalan

Pemakanan merupakan satu faktor yang penting di dalam kehidupan seharian setiap manusia.  Keperluan pemakanan di kalangan murid-murid sekolah rendah adalah lebih tinggi berbanding dengan kanak-kanak di peringkat pra-sekolah, ini disebabkan oleh pertambahan saiz badan dan aktiviti fizikal pada usia enam hingga dua belas tahun adalah amat ketara.  Murid-murid yang mendapat cukup zat makanan  dan dalam keadaan  persekitaran yang baik akan berpeluang untuk mencapai tumbesaran yang optimum.  Sebaliknya murid-murid yang mendapat kurang zat makanan akan mengalami gangguan pertumbuhan fizikal dan mental, keletihan, kurang penumpuan terhadap pelajaran dan kemerosotan pencapaian dalam pelajaran di sekolah (Wan Nudri dan Aminah,1996).
 Justeru itu, faktor-faktor yang mempengaruhi pemakanan adalah amat penting dan berguna jika ianya dikaji secara terperinci dan berterusan terutamanya bagi mempastikan kesinambungan wujudnya generasi yang sihat secara berterusan di negara ini. Isu-isu berkaitan dengan makanan dan pemakanan melibatkan interaksi budaya, sosial, ekonomi dan psikologi yang kompleks.  Pada tahun 1988, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendakwa terdapat bukti-bukti yang kukuh menunjukkan bahawa tabiat atau amalan makan yang buruk merupakan salah satu faktor penting yang meningkatkan  penyakit-penyakit kronik begitu cepat (KKM, 1996).
Baik buruknya taraf  pemakanan seseorang  juga berpunca daripada tabiat makan yang diamalkannya.Tabiat makan seseorang  menggambarkan pengambilan makanan yang sering diamalkan  oleh seseorang individu. Tabiat makan yang buruk boleh membawa kepada keadaan yang tidak sihat seperti kegemukan atau berkemungkinan meningkatkan risiko terhadap beberapa penyakit seperti penyakit jantung, diabetis, tekanan darah tinggi, karies gigi dan beberapa jenis kanser. Berdasarkan isu-isu di atas, adalah penting bagi setiap individu mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai makanan, tabiat makan dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengannya untuk membolehkan mereka mengamalkan tabiat atau amalan makan yang sihat serta membolehkan  mereka hidup sihat dan memiliki kehidupan yang berkualiti  (KKM,1996).
Pengetahuan pemakanan dan amalan makan yang sihat  perlu diberi penekanan lebih awal kepada setiap individu iaitu bermula di peringkat sekolah  rendah  lagi. Murid-murid dalam usia ini perlu diberi pendedahan kepada perkara di atas bagi mewujudkan generasi yang mempunyai taraf pemakanan yang baik iaitu sihat dari segi rohani, jasmani dan mental, seterusnya bebas dari risiko penyakit yang merbahaya seperti diabetis, tekanan darah tinggi dan beberapa jenis kanser. Selain daripada itu, pendedahan awal ini juga akan dapat memberikan kesedaran awal kepada mereka mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri supaya sentiasa berada pada tahap yang optimum.
Kajian menunjukkan bahawa kadar obesiti murid-murid tahun enam (6) di kawasan bandar adalah tinggi berbanding dengan murid-murid di luar bandar (Bong & Safurah, 1996). Ianya menunjukkan bahawa murid-murid tahun enam merupakan kumpulan yang paling ramai mengalami masalah obesiti (11.1%). Terdapat juga kemungkinan berlakunya kes-kes kekurangan makanan di kalangan murid-murid sekolah rendah. Fenomena ini perlulah diberi perhatian yang serius oleh pihak-pihak yang  bertanggungjawab bagi meminimumkan permasalahan pemakanan di kalangan murid-murid sekolah rendah di Malaysia.
Dewasa ini telah banyak usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya dalam memberi kesedaran berkaitan tabiat pemakanan kepada seluruh rakyat Malaysia. Banyak kajian dan kempen pemakanan sihat telah dijalankan, namun permasalahan pemakanan ini masih merupakan satu masalah yang belum dapat diatasi sepenuhnya. Selain daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia juga amat prihatin dalam menangani pemasalahan ini. Program Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) yang mula diperkenalkan ke seluruh sekolah rendah di Malaysia pada tahun 1979 dan diikuti oleh Program Susu Sekolah yang mula dipekenalkan pada tahun 1989, adalah antara program yang dijalankan bagi meminimumkan masalah tersebut. (Abdul Rahman, 1993).

Bagi melihat secara lebih dekat mengenai permasalahan yang sedang dihadapi, kajian berkenaan isu-isu pemakanan hendaklah dilakukan sekerap mungkin terutama terhadap golongan pelajar. Ini bagi memastikan bahawa pelajar-pelajar di negara ini sentiasa berada di dalam keadaan sihat. Kajian yang telah dijalankan ini melibatkan murid-murid tahun enam di kawasan Keramat, Kuala Lumpur. Bagi tujuan kajian, murid-murid tahun enam di tujuh buah sekolah di kawasan tersebut telah dipilih sebagai sampel. Kajian ini adalah bagi mengkaji taraf pemakanan serta latar belakang murid  secara umum .

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini ialah untuk mengetahui taraf pemakanan murid-murid sekolah yang terbabit  dan melihat amalan pemakanannya dari segi  bersarapan pagi dan membawa bekal. Selain daripada itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui hubungkait antara taraf pemakanan dengan taraf ekonomi ibubapa dan juga taraf pemakanan dengan taraf pendidikan ibubapa serta amalan pemakanan murid-murid.

METODOLOGI  KAJIAN

Sampel kajian adalah di kalangan pelajar tahun enam (6) berbangsa Melayu di tajuh Sekolah Rendah di kawasan Keramat, Kuala Lumpur. Sampel diambil dengan menggunakan kaedah persampelan berstrata (murid-murid dikategorikan kepada 2 kumpulan iaitu lelaki dan perempuan). Persampelan seterusnya akan diambil secara rawak mengikut kelas di mana hanya berbangsa Melayu sahaja yang terdapat di ruang persampelan. Bagi setiap sekolah yang dipilih, jumlah sampel keseluruhan yang diambil ialah seramai 497 orang murid-murid untuk penilaian taraf pemakanan. Umur bagi murid-murid ini akan dikira berdasarkan kepada senarai tarikh lahir yang didapati dari buku pendaftaran sekolah. Jika umur murid tersebut sebelas tahun (11) dan lebih daripada enam bulan ( > 6 ) atau dua belas tahun (12) dan kurang daripada enam bulan (< 6 ) maka pelajar tersebut akan direkodkan sebagai berumur dua belas tahun (12). Bagi murid yang umurnya dua belas (12) tahun dan lebih daripada enam bulan ( > 6), maka umurnya akan direkodkan sebagai tiga belas tahun (13).

Rumusan

Daripada  kajian ini dapatlah dirumuskan bahawa, taraf pemakanan murid-murid tahun enam di kawasan Keramat adalah kurang memuaskan jika dilihat dari segi peratus yang direkodkan bagi tahap kurang pemakanan dan lebih pemakanan berbanding dengan peratusan Kebangsaan. Faktor yang dikenalpasti paling mempengaruhi taraf pemakanan ialah amalan pemakanan ( bersarapan, makan tengahari, makan malam dan makan antara waktu makan utama ) murid dan taraf ekonomi ibu bapa murid. Cara penyediaan dan masakan makanan juga mempengaruhi taraf pemakanan murid-murid. Murid-murid dalam kajian ini hanya mempunyai pengetahuan pemakanan pada tahap sederhana sahaja. Kajian ini tidak dapat membuktikan bahawa taraf pendidikan ibu bapa murid ada mempengaruhi taraf pemakanan murid tersebut.

Cadangan

Daripada rumusan yang telah dilakukan, cadangan seperti berikut adalah disyorkan:

i. Kawasan yang dikaji perlu diberi perhatian yang serius mengenai taraf pemakanan murid-murid. Pihak-pihak yang berkaitan haruslah memberi perhatian yang lebih serius bagi mengatasi fenomena ini. Satu kajian yang lebih menyeluruh bagi menentukan sebab sebenar haruslah dilakukan bagi mencari punca pemasalahan ini.

ii. program-program pemakanan yang telah dan sedang dijalankan perlulah dikaji semula keberkesanannya bagi meningkatkan taraf pemakanan murid-murid sekolah rendah.

iii. Pihak Kementerian Pendidikan harus menumpukan perhatian yang lebih terhadap golongan murid-murid yang menghadapi masalah pemakanan (kurang atau lebih). Usaha-usaha meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan amalan pemakanan yang betul perlu dilakukan. Usaha ini mungkin boleh dilakukan dengan cara menambahkan lagi sukatan pelajaran berkenaan  pemakanan ataupun mengadakan program khas bagi tujuan ini.

iv. Risalah dan maklumat pemakanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan juga agensi lain perlu disebarkan secara lebih meluas dan efektif agar maklumat yang hendak disampaikan tepat kepada kumpulan sasaran.

v. Di dalam kajian ini kuantiti makanan yang diambil oleh murid tidak dikaji. Walaubagaimanapun terdapat kemungkinan bahawa murid yang tidak makan makanan berat tapi kerap makan mempunyai potensi untuk mengalami lebih pemakanan. Begitu juga murid yang makan makanan berat tapi kurang kekerapannya. Justeru itu, dicadangkan supaya kajian lanjut dibuat mengenai perkara ini.

vi. Program kesedaran dan peningkatan kualiti bagi pengusaha-pengusaha kantin sekolah perlulah diberi perhatian supaya penyediaan makanan dan penyelenggaraan kantin pada tahap yang memuaskan.

vii. Pihak pentadbiran sekolah atau PIBG boleh meningkatkan lagi peranan mereka dalam mengawasi penjualan makanan di kantin sekolah supaya makanan dan minuman yang dijual / dihidangkan bersesuaian dengan keperluan pemakanan murid-murid sekolah.

Kesimpulan

Secara amnya, masalah pemakanan (lebih dan kurang pemakanan) di kawasan kajian adalah lebih tinggi daripada kajian yang telah dibuat di peringkat kebangsaan. Dengan kata lain, ianya haruslah diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak,  kajian bersepadu dan mendalam yang meliputi semua aspek pemakanan patut dilakukan bagi mencari punca sebenar masalah ini dan seterusnya akan dapat menyelesaikan masalah pemakanan kanak-kanak di negara ini.


           Balik ke...Menu  /  INTAN